Fouziah Gous Akan Berlakon 'Watak' Facebook

on 12/13/2012
Lihat video dibawah :

REMAJA sekarang bagaikan tak boleh ‘hidup’ tanpa facebook (fb) atau barangkali jika seseorang itu tiada akaun fb atau pun twitter akan dianggap ketinggalan zaman.

Akrab dan taksubnya remaja dengan fb mencetuskan situasi yang tidak baik sehingga ada yang sanggup lari dengan lelaki baru beberapa hari dikenali menerusi laman sosial itu.

Menerusi filem Sunti @ Facebook.com, James Lee menterjemahkan kegilaan remaja terhadap fb daripada suatu perkara perkara yang dianggap boleh mengisi kekosongan akan bertukar menjadi sesuatu amat menyeramkan jika teknologi itu disalah guna.

Sunti @ Facebook.com adalah filem arahan terbaru James selepas Histeria, Sini Ada Hantu, Tolong Awek Aku Pontianak dan filem Cina, The Collector.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran filem itu di Gombak baru-baru ini, James berkata, orang sekarang seperti tak boleh ‘hidup’ tanpa fb.

“Pelbagai perkara buruk terjadi juga kerana fb, perkenalan dengan lelaki yang tidak dikenali sehingga sanggup lari bersama dan ramai yang ditipu berjuta-juta ringgit angkara jatuh cinta menerusi perkenalan di fb.

“Lalu saya terjemahkan segala kejadian berlaku itu dalam bentuk menyeramkan kerana gejala berlaku dalam masyarakat hari ini amat menakutkan jika tidak dibendung,” katanya.

Semua pendukung watak utama dalam Sunti digalas pelakon muda seperti Fouziah Gous sebagai Sunti Lara, Izzue Islam (Asyiq), Lufya Omar (Jiji), Jenny Cotez (Vida), Anas Mentor (Gel), Syazwan Zulkifli (Adan), Diddy Hirdy (Py), Arief Farhan (Mie), Mizy Radzuan (Lan), Elfaeza Ul Haq (Dura) dan Wana Ariana (Alisya).

“Golongan muda seperti merekalah yang selalu berhubung menerusi fb. Mereka dengan mudah menerima kenalan baru melalui fb tanpa menyelidik latar dirinya.

“Dulu banyak cerita seram dari Jepun dan Korea yang diganggu panggilan misteri di telefon, kali ini sesuai dengan perubahan zaman saya menggunakan fb.
Cabaran mengarah filem ini untuk menimbulkan situasi seram setiap kali kita mahu menggunakan fb selepas menonton filem ini nanti.

“Ada yang leka melayari fb sampai lewat malam sehingga lupa makan minum serta tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekelilingnya.

“Menariknya filem ini selain daripada jalan cerita yang dihasilkan penulis skrip, Shariza Mahmud ialah kesan khas. Dalam apa jua cerita seram, kesan khas dan muzik latar memainkan peranan penting untuk memberi mood pada filem.

“Cabaran lain saya perlu siapkan filem ini dalam masa 20 hari dan bagi melancarkan penggambaran, setiap pelakon mestilah memberikan komitmen terbaik untuk filem ini,” katanya.

Mangsa laman sosial

Diterbitkan oleh Nusantara Seni Karya Sdn Bhd (NSK), Eksekutif Produser NSK, Shankar RS yang berasal dari Indonesia berkata dia sudah menerbitkan lebih 100 filem yang mana 99 peratus adalah filem seram.

“Di Indonesia penonton sukakan filem seram berbanding filem cinta dan sebagainya. Dalam setahun, saya hanya keluarkan satu filem cinta itu pun sambutannya tidak berapa bagus berbanding filem seram.

“Kepercayaan mereka terhadap unsur mistik sangat tinggi menyebabkan filem seram terus mendapat sambutan sehingga ke hari ini. Penonton di Malaysia juga masih meminati filem seram, bagaimanapun corak persembahan filem di sini diolah agar sesuai dengan budaya masyarakat di sini.

“Saya memahami sensitiviti masyarakat di sini. Filem seram pertama yang diterbitkan oleh NSK di sini adalah Paku yang baru saja selesai penggambarannya. Ceritanya diilhamkan oleh penulis skrip di Indonesia tetapi Shahriza Mahmud mengolahkannya semula,” katanya.

Antara filem seram popular terbitan Shankar di Indonesia, Rumah Pondok Indah, Hantu Jeruk Purut, Terowongan Casablanca, Malam Jumat Kliwon, Hantu Ambulance dan Kereta Hantu Manggarai.

NSK bertapak di Malaysia enam tahun lalu dengan menerbitkan drama dan
baru pada penghujung tahun ini, syarikat itu menerbitkan filem bermula dengan Paku, Sentuhan Malam Pertama (dalam pembikinan arahan Murali Abdullah) dan Seram. Shankar yang terpaksa berulang alik setiap minggu antara Indonesia dan Malaysia tidak bimbang kerana kenalan baiknya di sini, Arie Zahari menerusi syarikatnya Arie Production membantunya melancarkan urusan produksi di sini.

“NSK merancang untuk menghasilkan lima hingga tujuh filem pada 2013 dengan pelbagai genre termasuklah filem cinta dan komedi kerana saya lihat penonton Malaysia dapat menerima apa jua jenis filem asalkan ceritanya bagus.

“Industri filem Malaysia berkembang dengan baik kerana mendapat sokongan daripada kerajaan dan sebagai membalas jasa kerajaan Malaysia yang memberi laluan untuk saya berkarya di sini, saya bercadang mahu membawa artis negara ini berlakon di sana.

“Saya akan mengusahakan agar filem yang saya terbitkan di negara ini turut ditayangkan di Indonesia dan saya turut bawakan artis Indonesia muncul sebagai cameo dalam setiap filem saya yang dihasilkan di sini. Untuk filem Sunti @ Facebook.com, saya tampilkan Jenny Cotez yang banyak berlakon dalam filem saya di Indonesia,” katanya.

Secara ringkasnya, Sunti @ Facebook.com mengisahkan Ashiq, remaja playboy yang nakal dan dilahirkan dalam keluarga berada memberikannya kelebihan daripada segala segi.

Dia suka bertukar-tukar pasangan ‘online’ yang turut dibantu tiga lagi rakannya - Py, Adan dan Gel.

Saban hari tugas mereka adalah memancing seramai mungkin gadis melalui laman fb. Setiap pertemuan berjalan dengan baik walaupun ada beberapa gadis yang kecewa dengan mereka kerana memutuskan hubungan selepas keluar beberapa kali.

Pada suatu hari kolej di mana Ashiq dan kawan-kawannya belajar menjadi gempar apabila berlaku kejadian pembunuhan tanpa diketahui puncanya. Semua yang mati seolah diganggu roh yang hidup dalam rangkaian sosial fb. Kejadian misteri itu meninggalkan kesan mendalam kepada Ashiq dan rakan-rakannya.

Apakah puncanya dan siapakah Sunti Lara yang menjadi rakan fb mereka? Untuk mengetahui kesudahan filem ini, nantikan tayangannya pada pertengahan 2013.

HMetro

0 comments:

Post a Comment

Recent Posts